Assallamuallaikum,
Buat semua pembaca yang sudi kongsi sama kehidupan masing-masing.
Aku dilahirkan dalam situasi keluarga yang sederhana susah lebih kurang 47 tahun lalu. Keluargaku seorang petani sebagai mata pencarian hidup sekeluarga di Sungai Lampam Sungai Manik Daerah Hilir Perak. Bapaku petani cara lama tanpa menggunakan mesin seperti sekarang manakala ibuku suri rumah sambil membantu bapaku. Apabila aku sampai zaman persekolahan di awal tahun 1970, aku seorang penakut sehingga 1 bulan aku terpaksa ditemani bapa dan datukku di sekolah sehingga aku berani menyesuaikan diriku. Setiap hari aku dihantar oleh bapa dan datukku dengan menaiki basikal. Akhirnya aku sudah mula berani dan menghabiskan persekolahan rendah di SK Sungai Lampam sehingga Tahun Enam. Kerana waktu itu tiada Tadika / Pra Sekolah seperti sekarang, aku tidak pernah tahu alam persekolahan dan menjadi satu penyebab sebagai seorang yang penakut. Zaman itu juga aku memulakan belajar menulis dengan menggunakan papan batu. Tidak seperti sekarang yang semua serba serbi canggih dengan peralatan terkini.
Pada tahun 1976, aku bertukar sekolah menengah di SM Sultan Abdullah Chenderung Balai. Setiap hari ke sekolah, aku menaiki basikal sehingga tahun 1979. Akhirnya pada awal tahun 1980, aku mendapat tawaran sambung belajar di SPPAT / AFATS di Port Dickson Negeri Sembilan. Disinilah aku belajar cara mendisiplinkan diri cara tentera selama dua tahun sehingga lulus SPM. Aku dapat mengubah diriku dari seorang penakut kepada lebih berani. Banyak perkara yang dapat mengubah diriku disitu.
Pada tahun 1983, aku dihantar untuk menjalani Kursus dan Latihan Asas Kejuruteraan Kapalterbang di Institut Teknologi Udara Kinrara KL. Setelah selesai, aku diterima untuk menjalanai Kursus Asas Pem Tadbir di situ juga. Akhirnya aku mula bekerja dalam Cwg Pentadbiran di Institut tersebut sehinggalah kumpulan kami dapat mewujudkan Sek Pegawai Kedet Udara disitu. Tahun 1986, aku ditukarkan ke Kementerian Pertahanan KL di Cwg Pentadbiran. Disini aku banyak menimba ilmu apa saja dalam Perkhidmatan Pentadbiran disamping dapat mengikuti Kursus di INTAN, Jabatan Perdana Menteri dan lain-lain Jabatan Kerajaan serta kursus-kursus peningkatan dalam pentadbiran di TUDM. Diriku juga pernah bertugas di Sabah dan Sarawak juga pernah berkhidmat di Medan Indonesia. Semuanya sebagai pengalaman kerja semasa kita dalam Kerajaan.
Pada tahun 1990, aku ditukarkan ke Institut Latihan TUDM di Ipoh. Aku ditempatkan di Cwg Tabdir dan Latihan. Aku juga sempat menjadi Jurulatih untuk mendidik jenarasi TUDM menjalani latihan asas disitu. Akhirnya pada Ogos 1997, aku mengundurkan diri untuk tempoh 17 tahun berkhidmat dalam TUDM dan terus menumpukan tugas sebagai Jurulatih Memandu Berkelayakan (QTI) di Institut Memandu LSA Sdn Bhd Ipoh sehingga sekarang. Pengalaman selama 13 tahun sekarang ini yang telah melahirkan ribuan pemandu diseluruh Ipoh Perak, satu kebanggaan pada diriku walau ianya dapat dilakukan secara persendirian. Matlamat diriku adalah untuk melahirkan seberapa ramai Pemandu Berhemah di Malaysia bagi mengurangkan kadar kemalangan maut di jalan raya. Ini juga satu sumbanganku kepada Kerajaan walau tiada lagi dalam Kerajaan.
Untuk yang terkini, diriku banyak melakukan kerja sambilan dalam politik dan persatuan. Kini sebagai Tim Ketua UMNO Cwg Taman Bersatu Bhg Gopeng Perak, AJK Persatuan Kebajikan Pengajar Memandu Ipoh Perak, AJK Rakan Pengguna Daerah Kinta dan Rakan JKJR Daerah Kinta. Dalam tugasan tersebut, sedikit sebanyak belajar menyelami perasaan dan kehendak Rakyat 1 Malaysia sejajar dengan Gagasan 1 Malaysia. Jika dulu kita pernah rasa susah, mengapa sekarang sudah hampir senang, kita tidak boleh membantu mereka yang memerlukan. Pengalaman susah dulu dapat mengajar diriku untuk lebih memahami mereka yang susah sekarang. Perasaan bangga diri, sombong dan dengki tidak lagi berada dihatiku. Biar kesusahan dan kesenangan dapat dirasai bersama sekarang tanpa sebarang perbezaan fahaman politik dan sebagainya. Jika kita akan jadi pemimpin nanti, kalau merenung bintang dilangit, jangan lupa rumput dibumi.
InsyaAllah, segala cita-cita akan tercapai.
Terima kasih kerana sudi berkongsi sama pengalamanku ini.
Ikhlas dariku......Wak KHAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan